MELBOURNE, AUSTRALIA – Aktivis Sabah, Deddy Rumiyu, menegaskan bahawa rakyat Sabah mempunyai hak untuk menentukan masa depan sendiri serta mempertahankan hak, tanah dan sumber yang diwarisi daripada generasi terdahulu.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam satu demonstrasi aman yang berlangsung di hadapan Parlimen Victoria, Melbourne, Australia, yang disertai oleh komuniti rakyat Sabah yang menetap di negara itu.
Menurut Deddy, perhimpunan tersebut bukan sekadar satu bentuk bantahan, sebaliknya merupakan manifestasi kesedaran rakyat Sabah terhadap identiti, hak dan masa depan tanah air mereka.
“Hari ini kita berdiri di sini sebagai anak tanah Sabah Borneo. Kita hadir dengan satu suara dan satu tekad. Sabah bukan sekadar sebuah wilayah di atas peta, tetapi merupakan rumah kita, identiti kita dan detak jantung perjuangan kita,” katanya.
Beliau turut mengulangi slogan “Sabah for Sabahan” sebagai simbol tuntutan agar hak dan kepentingan rakyat Sabah diberi keutamaan dalam menentukan hala tuju Negara tersebut.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa tanah, sumber asli dan kekayaan Sabah merupakan warisan yang perlu dipelihara demi kepentingan generasi masa kini dan akan datang.
“Hak kita, tanah kita dan sumber daya kita adalah warisan yang ditinggalkan kepada kita. Ia adalah tanggungjawab yang mesti dipertahankan dan masa depan yang perlu dijaga. Kami tidak menuntut sesuatu yang bukan milik kami, sebaliknya hanya menuntut apa yang sewajarnya menjadi hak rakyat Sabah,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah di dalam dan luar negara agar terus bersatu, meningkatkan kesedaran serta memainkan peranan dalam memperjuangkan masa depan tanah air mereka melalui saluran yang aman dan berlandaskan prinsip demokrasi.
Demonstrasi tersebut berlangsung dalam suasana aman dengan para peserta membawa pelbagai mesej berkaitan hak rakyat Sabah, identiti kebangsaan serta aspirasi masa depan negeri itu.
Mengakhiri ucapannya, Deddy menyeru rakyat Sabah agar terus berani mempertahankan hak dan maruah bangsa.
“Bangkitlah Sabah. Masa depan tanah air ini terletak di tangan rakyatnya sendiri,” katanya.
Borneo Voice News akan terus memantau perkembangan semasa berkaitan gerakan masyarakat Sabah di dalam dan luar negara serta membawakan laporan terkini kepada para pembaca.
Oleh:Borneo Voice News








