KOTA KINABALU, 17 Jun – Pemerhati politik, Ir. Ts. Jovilis Majami, menegaskan bahawa masa depan sesebuah negara bergantung kepada kualiti pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Menurut beliau, proses pemilihan wakil rakyat tidak seharusnya didorong oleh populariti semata-mata, sebaliknya perlu bermula dengan penilaian terhadap etika, integriti dan keupayaan intelektual seseorang calon.
Beliau berkata, sejarah telah membuktikan bahawa kejatuhan banyak tamadun dunia berpunca daripada kegagalan pemimpin memegang amanah dan mempertahankan nilai moral. Oleh itu, etika perlu menjadi syarat paling utama sebelum seseorang diberi peluang bertanding dan memegang jawatan awam. Individu yang mempunyai rekod rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan atau salah laku moral, katanya, tidak sewajarnya diberi kepercayaan untuk mentadbir negara.
Menurut Jovilis, integriti jauh lebih bernilai daripada populariti yang boleh dibentuk melalui kempen politik atau media sosial. Sebaliknya, integriti dibina melalui rekod perkhidmatan yang konsisten, kejujuran serta komitmen terhadap kepentingan rakyat.
Beliau turut menekankan bahawa seorang wakil rakyat ialah pemegang amanah rakyat, bukannya pemilik kuasa. Kuasa politik, katanya, mesti digunakan bagi menjamin kebajikan masyarakat dan bukannya untuk kepentingan individu atau kelompok tertentu.
Dalam menghadapi cabaran dunia moden, Jovilis berpandangan bahawa pemimpin juga perlu memiliki tahap intelektual yang tinggi. Mereka bukan sahaja perlu mempunyai kelulusan akademik, malah perlu mampu memahami isu ekonomi, teknologi, undang-undang, dasar awam serta hubungan antarabangsa bagi menghasilkan keputusan yang berkualiti demi kepentingan negara.
Beliau menjelaskan bahawa dunia kini berdepan dengan pelbagai cabaran baharu seperti kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, geopolitik dan ekonomi digital, sekali gus menuntut kepimpinan yang mampu berfikir secara kritis, strategik dan berpandangan jauh.
Menurut beliau, institusi perundangan memerlukan pembuat dasar yang berkualiti dan bukannya ahli politik yang hanya bergantung kepada retorik. Wakil rakyat seharusnya mempunyai keupayaan menggubal polisi yang mampu menyelesaikan masalah rakyat melalui pendekatan yang rasional, saintifik dan berasaskan fakta.
Mengulas mengenai demokrasi, Jovilis berkata mandat rakyat kekal sebagai asas penting dalam sistem pemerintahan, namun mandat semata-mata tidak menjamin lahirnya kepimpinan yang berkualiti. Beliau berpandangan bahawa demokrasi perlu diseimbangkan dengan merit, integriti serta kompetensi agar keputusan yang dibuat benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhannya.
Beliau turut menyeru agar budaya politik negara beralih daripada politik populariti kepada politik berasaskan kelayakan, integriti dan ilmu. Menurutnya, rakyat perlu menilai rekod perkhidmatan, keupayaan serta karakter calon, dan tidak terpengaruh dengan sentimen perkauman, politik wang atau pengaruh media sosial semata-mata.
Dalam kenyataannya, beliau juga mencadangkan agar negara mempertimbangkan mekanisme penapisan calon berdasarkan standard etika dan kelayakan profesional, sebagaimana profesion lain seperti doktor, peguam dan jurutera yang mempunyai syarat kelayakan sebelum dibenarkan menjalankan tugas.
Jovilis menegaskan bahawa setiap rakyat mempunyai tanggungjawab moral untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak kerana keputusan yang dibuat hari ini akan menentukan hala tuju ekonomi, pendidikan, perpaduan dan kestabilan negara untuk generasi akan datang.
Beliau merumuskan bahawa model “Beretika,Berintelektual,Mandat Rakyat” wajar dijadikan paradigma baharu dalam pemilihan wakil rakyat di Malaysia. Menurut beliau, hanya pemimpin yang memiliki integriti, kebijaksanaan dan keupayaan mentadbir sewajarnya menerima mandat daripada rakyat.
Pemimpin bukan sekadar dipilih, tetapi mesti layak untuk dipilih Tegas Jovilis Majami.
Oleh:Borneo Voice News








