Australia, 26 Jun – Naib Presiden SSKM Australia, Lister Sidam, menyeru seluruh ahli agar terus memperkukuhkan semangat perpaduan, kerjasama dan komitmen dalam membina SSKM Australia sebagai sebuah organisasi yang kukuh serta menjadi wadah penyatuan masyarakat Sabah dan Sarawak yang menetap di Australia.
Dalam ucapan beliau sempena majlis penubuhan SSKM Australia, Lister Sidam melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah tersebut. Beliau menyifatkan penubuhan SSKM Australia bukan sekadar mewujudkan sebuah persatuan, malah sebagai pembinaan sebuah keluarga besar yang menghubungkan anak-anak Sabah dan Sarawak di perantauan.
Menurut beliau, walaupun berada jauh dari tanah air, semangat perpaduan, persaudaraan serta budaya saling membantu perlu terus dipelihara sebagai asas kekuatan organisasi.
Beliau turut mengakui bahawa sebagai sebuah organisasi yang masih baharu, pelbagai cabaran dan rintangan pasti akan dihadapi. Namun demikian, beliau yakin cabaran tersebut mampu diatasi sekiranya setiap ahli memberikan komitmen, kerjasama dan sokongan yang padu.
Sehubungan itu, beliau mengajak semua ahli SSKM Australia untuk berganding bahu, berkongsi idea serta menyumbangkan tenaga demi memastikan organisasi terus berkembang sebagai platform yang menyatukan masyarakat Sabah dan Sarawak di Australia.
Lister Sidam turut menegaskan bahawa matlamat utama SSKM Australia adalah untuk menjadi sebuah organisasi yang bukan sahaja kukuh dari segi pentadbiran, malah menjadi “rumah kedua” kepada setiap anak Sabah dan Sarawak yang berada di Australia.
Mengakhiri ucapannya, beliau menzahirkan ikrar untuk memberikan komitmen dan kerjasama yang terbaik demi kemajuan SSKM Australia serta menyeru seluruh ahli agar terus memegang prinsip perpaduan.
“Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.”
Beliau menutup ucapan dengan laungan semangat,
“Hidup SSKM Australia! Satu Keluarga, Satu Matlamat, Satu SSKM!”
Ucapan tersebut mencerminkan tekad kepimpinan baharu SSKM Australia untuk membina sebuah organisasi yang inklusif, progresif dan mampu menjadi platform kebajikan serta perpaduan bagi masyarakat Sabah dan Sarawak di Australia.
Oleh:Borneo Voice News












